Skip to main content

10 Amalan sunnah di bulan Ramadhan

10 amalan sunnah di bulan ramadhan

Ramadhan yang kita nanti-nantikan akan tiba tidak berapa lama lagi. Ini adalah tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Alhamdulillah. Banyak amalan-amalan sunnah di bulan Ramadhan yang boleh diamalkan oleh kita. Antaranya ialah:

1. Makan sahur

Makan sahur boleh dilakukan mulai dari pertengahan malam sehingga sebelum waktu subuh menjelang. Waktu yang dianjurkan dalam makan sahur ini ialah kita mengakhirkan waktunya sehingga sebelum waktu subuh menjelang.

 

Hikmah yang boleh kita ambil dari makan sahur adalah untuk menjaga stamina selama berpuasa, jadi waktu yang sangat sesuai adalah di sebelum waktu subuh menjelang. Usahakan untuk sahur walaupun hanya seteguk air.

 

Dan bagi yang sibuk dan susah untuk bangun sahur boleh mempercepat sahur pada tengah malam  agar ke esokan harinya kita tetap ada stamina dalam mejalankan ibadah puasa.

 

Rasulullah Bersabda :

“Makan sahurlah karena sesungguhnya pada sahur itu terdapat berkah.” (HR. Bukhari dan Muslim)

 

2. Menyegerakan berbuka puasa

Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang di ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.

 

 Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.(al-Bukhari & Muslim).

 

Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh.

 

Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya.

 

3. Doa ketika berbuka puasa

Berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab. Kita digalakkan untuk berdoa ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda.

 

 Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi. (Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban).

10 amalan sunnah di bulan ramadhan

4. Berbuka puasa dengan buah kurma

Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan kita bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang.

 

Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi yang bermaksud:

 

Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dengan kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air. 

 

Ramai diantara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib.

10 amalan sunnah di bulan ramadhan

5. Memberi makan orang yang berpuasa

Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa.

 

Terlalu besar ganjarannya member makan pada orang yang berpuasa seperti yang diberitahu Rasulullah.

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya (Tirmidzi dan Ibn Maja)

 

6. Tidur Qailulah

Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya.

 

Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda;

Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.

 

Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.

10 amalan sunnah di bulan ramadhan

7. Membaca Al Quran

"Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf; tetapi alif satu huruf; lam satu huruf dan mim satu huruf. " (HR. At-Tirmidzi, katanya: hadits hasan shahih).

 

Al-Qur'an diturunkan untuk dibaca oleh setiap orang muslim, direnungkan dan difahami makna, perintah dan larangannya, kemudian diamalkan. Sehingga ia akan menjadi hujjah baginya di hadapan Tuhannya dan pemberi syafa'at baginya pada hari Kiamat.

 

Allah telah menjamin bagi siapa yang membaca Al-Qur'an dan mengamalkan isi kandungannya tidak akan tersesat di dunia dan tidak celaka di akhirat, dengan firmanNya " Maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. " (Thaha:123),

10 amalan sunnah di bulan ramadhan

8. Beri’tikaf

Disunnahkan untuk beri‘tikaf terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Salah satunya untuk mendapatkan pahala lailatul qadar yang menurut Rasulullah SAW ada pada malam-malam 10 terakhir bulan Ramadhan.

 

Dengan mengkhususkan diri berdiam selama beberapa hari di masjid untuk lebih ber mujahadah dalam ibadah, ia juga sebagai bentuk latihan pembentukan diri menjadi hamba Allah yang sedang mendekati Rabb nya. Baginda Nabi saw, apabila datang sepuluh hari terakhir Ramadhan maka beliau segera menyambutnya dengan penuh kekhusyukan.

 

Aisyah RA berkata, ”Bila telah memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadhan, Nabi SAW menghidupkan malam, membangunkan keluarganya (isterinya) dan meninggalkan isterinya (tidak berhubungan suami isteri).(HR Bukhari dan Muslim)

10 amalan sunnah di bulan ramadhan

9. Memperbanyakkan sedekah

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadhan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan bulan Ramadhan, amalan ini menjadi lebih digalakkan.

 

10. Menjaga lidah

Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikit pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah.

 

Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa. Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan.

 

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan al-Tabarani yang bermaksud:

Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)

 

Semoga Ramadhan kali ini kita dapat memperbaiki amalan-amalan kita dari tahun sebelumnya dan amalan-amalan kita diterima Allah. Aamiin.

 

 

 

Related posts:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge